SELAMAT DATANG KE BLOG "JOM SINGGAH SEBENTAR"

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته.

Friday 28 October 2011

MARI BERTA'ARUF


Salam Silaturrahim Buat Semua. Semoga blog ini akan menjadi medan tempat saya berkongsi sesuatu yang mungkin memberi manafaat kepada semua. Saya hanyalah seorang wanita sederhana. Berpendidikan sederhana dan kesederhanaan itulah yang menjadi amalan kehidupan saya seharian. Islam pun suka yang sederhana tetapi istiqomah. Dilahirkan 46 tahun yang lalu dalam sebuah perkampungan sederhana yang sinonim dengan makanan ruji; padi (beras) Kampung Sekinchan / Sekinchang (sebutan bangsa Cina). Anak ke 9 dari 11 orang adik beradik yang terdiri daripada 9 perempuan dan 2 orang lelaki. Ibu bapa pesawah padi.

Bersekolah rendah di Sek. Keb. Sg. Leman dari darjah 1 hingga darjah 3. Kemudian berpindah ke Sek. Keb. Telok Gong dari darjah 4 hinggan ke darjah 6. Menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Tg Ampuan Jemaah dari Ting. 1 hingga Tingkatan 5 (1982). Kemudian menyambung pelajaran lagi ke Institut Muhammadiyyah Klang pada tahun 1983.
 Seterusnya bekerja buat sementara di ITM (dulu, sekarang UITM, Shah Alam) alah pekerja harian je. Maklumlah baru lepas SPM, cari pengalaman. Bos bagi sokongan untuk sambung belajar. Sambung pelajaran ke ITM dan tamat pada tahun 1989 (Diploma Pentadbiran Awam).

Tamat belajar, saya bekerja di beberapa buah syarikat. Syarikat-syarikat swasta kecil sahaja. Sebab saya ni kan suka yang sederhana je. Mendirikan rumahtangga pada tahun 1995 dengan Ismail bin Mahmud. Orang yang saya tidak berkawan pada mulanya, dah jodoh. Dikurniakan 3 orang cahaya mata, 1 orang lelaki (sulong) dan 2 orang perempuan. Alhamdulillah. Atas kesedaran untuk mendidik anak dengan tangan sendiri berhenti bekerja pada tahun 2002. Dan menjadi suri rumah sepenuh masa sehingga kini.

Saya ni tak berapa kreatif, selepas berhenti kerja saya jadi buntu. Selepas anak ke 3 lahir (2003) setahun kemudian saya mula membuat kerja-kerja sambilan di rumah. Macam-macam kerja saya buat, buat kelas tuisyen, buat kuih untuk jualan kadang-kadang untuk tempahan dan terkini ada permintaan untuk mengajar mengaji. Bukan hanya sekadar mencari duit poket tapi nak juga berkongsi ilmu seperti nabi kata "sampaikanlah walaupun sepotong ayat". Dari pesanan baginda S.A.W. ni saya buat juga semuanya secara sederhana. 
Alhamdulillah bila kita buat sesuatu itu dengan ikhlas kita akan berasa tenang walaupun duit di tangan tidak sebanyak semasa kita bekerja. Saya tetap bersyukur.

 Dilantik menajdi Wakil Muslimat Surau Darul Hikmah Fasa 4, Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, Selangor pada bulan Jun 2010 sehingga kini. Secara jujur, saya tidak mampu menggalas tanggungjawab yang diberi dan amat takut sekiranya amanah tidak terlaksana. Alhamdulillah dengan sokongan sahabat-sahabat yang berpengalaman saya harungi satu persatu. Memang banyak cabarannya. Namun tidak setanding dengan cabaran dakwah Rasulullah S.A.W. Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan pada saya.

Mudah-mudahan blog ini menjadi platform kepada saya untuk berkongsi apa-apa sahaja dan bertukar-tukar pendapat kepada orang-orang yang sudi. InsyaAllah.